“Abang, dalam dunia ni ada dua, ada perkara baik, ada perkara buruk, abang nak pilih yang mana? “ “Tentulah abang nak yang baik..” Saya tanya lagi, “ Kalau abang nak minta dengan Allah, abang nak mintak syurga atau neraka? “ syurga.” sepatah dijawab. “kalau macam tu, abang mesti solat, lepas solat abang doalah kepada Allah, Allah dengar doa budak-budak tau,” " Kalau Allah sayang abang, maknanya Walid pun sayang abanglah? Baru Walid nak beli mainan untuk abang?" Itulah luahan seorang kanak-kanak terhadap bapanya. Tapi kata-kata ini bukan diucapkan di depan Walidnya, sebaliknya di hadapan saya ketika saya sedang memancing minatnya supaya mendirikan solat. Saya bukan nak bicarakan soal solat, tapi perbualan saya dengan adik yang saya panggil abang itu benar-benar menyentuh jiwa a dan perasaan saya. Tak semena-mena air mata saya mengalir,.
Sudah tentu saya amat memahami jiwa kanak-kanak ini kerana saya juga pernah merasainya suatu ketika dahulu, cuma ceritanya agak berlainan, tetapi kesannya sampai sekarang saya masih rasa. Bukannya ayah kanak-kanak ini seorang penjahat, bukan juga seorang yang bengis, tapi ayahnya ialah seorang ayah yang tak pernah membelai anak-anaknya, tidak pernah saya lihat si ayah ini memeluk anaknya, begitu juga ketika demam dan dalam apa sahaja keadaan, bahkan saya tidak pernah lihat si ayah mencium pipi anaknya. Inilah ayah kanak-kanak ini dan mungkin ada juga bapa-bapa di luar sana yang bersikap sedemikian.
Kadang-kadang saya terfikir, jatuhkah ego seorang bapa dengan mencium pipi anaknya? Menjadi kesalahankah dengan mempamerkan kasih sayang anda kepada anak-anak? Atau tugas memberikan kasih-sayang hanya tergalas di bahu isteri? Seorang bapa inginkan dia dikasihi oleh anak-anak di hari tua, ingin disayangi, ingin dibelai, tapi mereka dahulu yang tidak memperlihatkan contoh sedemikian kepada anak-anak.
Bukan maksud saya untuk menyatakan yang anak-anak boleh melawan ibu bapa mereka, seburuk manapun mereka tetap orang tua kita, tetapi adakah sudah terlaksana tanggungjawab terhadap anak-anak dengan melupakan hak mereka iaitu kasih sayang?
Anak-anak perlu dibajai dengan kasih-sayang, barulah mereka juga akan belajar untuk mengasihi dan menyayangi..bukankah perbuatan itu lebih kuat pengaruhnya berbanding kata-kata? Perlu diingat, ibu dan ayah merupakan guru pertama anak-anak. Jika buruk yang diajar, akan buruklah jadinya, tapi jika anak-anak diajar dengan penuh kasih dan sayang, baiklah jadinya. Sorotilah kisah nabi, betapa dalam kesibukan baginda sebagai seorang ketua, baginda tetap seorang bapa yang penyayang. Pernah suatu ketika ketika cucu baginda Hassan dan Hussin memanjat baginda ketika sedang solat, baginda tidak pernah memarahi mereka, begitulah diplomasi Rasulullah terhadap kanak-kanak. Bukankah itu satu contoh yang baik untuk kita ikuti? Oleh itu wahai bapa..dengarlah rintihan anakmu ini..,belaikah daku, peluklah daku, kasihilah daku, kerana dalam hatiku engkaulah wira!
Saya menulis sekadar meluahkan apa yang terpendam,luahan hati seorang anak yang kesunyian suatu ketika dahulu..,jika ia baik jadikan pengajaran, jika ia buruk jadikan sempadan.wallahua’lam