11 Mei 2010

UJIAN ITU TARBIAH, SABAR ITU INDAH

Kesabaran merupakan satu kekuatan yang mana ia juga salah satu cabang daripada cabang-cabang iman. Dalam menghadapi kehidupan sebagai khalifah, tentulah banyak onak dan duri yang terpaksa dilalui, cabaran datang silih berganti, menguji dari segenap sudut kehidupan insan yang bergelar manusia tidak kira tua atau muda, kecil atau besar. Diuji sama ada dalam bentuk fizikal seperti kesempitan hidup, kematian orang tersayang dan sebagainya, atau dalam bentuk mental seperti tekanan hidup, perselisihan dengan keluarga dan sebagainya.
Jika diselusuri sirah junjungan, hidup baginda tidak lekang dari diuji, bermula dengan kehilangan Abdullah bin Abdul Mutalib, ayahnda baginda ketika baginda masih di dalam kandungan. Kemudian diuji lagi dengan kematian ibundanya yang tercinta ketika baginda berumur enam tahun. Pada usia yang masih muda, saat remaja lain sedang bergembira menikmati kehidupan yang baru bermula, baginda pula bekerja keras sebagai pengembala kambing, satu pekerjaan yang amat menuntut kesabaran yang tinggi. Kemudian setelah diangkat menjadi penyampai risalah Islam, baginda berterusan diuji malah lebih berat lagi. Baginda dipulaukan, dicaci oleh masyarakat Quraisy, dipulaukan, dan banyak lagi dugaan yang pasti tidak mampu dihadapi oleh insan biasa. Begitulah hebatnya kekasih Allah ini diuji.
Namun jika difikir sedalam-dalamnya, setiap dugaan yang datang ini merupakan satu anugerah dari-Nya, tanda kasih dan sayang Allah kepada insan yang bergelar hamba. Jika hari ini, satiap barang yang diingini hanya boleh dimiliki dengan membayar wang, ingin mendapatkan sesuatu perkhidmatan perlu membayar wang, bahkan ingin ke tandas pun perlu dibayar. Dalam erti kata lain, setiap yang kita inginkan perlu ada tukarannya.
Begitulah juga keadaannya dengan manusia, tujuan utama kita, matlamat yang ingin dicapai tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mendapatkan Jannatul Firdaus, syurga yang paling tinggi di sisi Allah. Namun untuk mencapainya bukanlah semudah kita mencapai keinginan kita di dunia yang boleh dibayar dengan wang ringgit, bahkan ia memerlukan lebih dari itu. Allah tidak akan membebankan kita dengan apa yang tidak mampu kita tanggung, jauh sekali untuk menyusahkan hamba-Nya. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 186 yang berbunyi:
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِل عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى القَوْمِ الكَافِرِينَ

Maksudnya:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkauhukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami,janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimanaEngkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami,janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kamimemikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami.Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”


Dia berikan apa yang diperlukan oleh hamba-hamba-Nya, inilah yang mengajar kita erti sebuah kesabaran, ketabahan, ketekunan, menambahkan rasa kebergantungan kepada Allah dan mengajar kita supaya sentiasa menginsafi diri sebagai hamba. Inilah yang kita perlukan sebagai bekalan untuk mencapai syurga Allah yang indah dan kekal abadi.
Seperti yang disebutkan diatas, kesabaran merupakan kunci utama yang perlu dimiliki oleh setiap insan dalam mengharungi segala kesusahan. Tanpa sifat sabar, manusia sudah pasti tidak mampu menanggung ujian yang mendatang, sedangkan Allah telah berpesan supaya bersabar dengan sebaik-baik sabar. Cepat melatah dengan ujian yang diterima dan mula menyalahkan takdir Allah. Itulah yang dilakukan apabila iman tidak kuat di hati, tidak tahan bila diuji. Natijahnya, terpampang di dada-dada akhbar berbagai-bagai kes bunuh diri yang disebabkan oleh tekanan jiwa, berlaku banyak gejala keruntuhan moral di kalangan remaja, merempit dan sebagainya. Semua itu dilakukan sebagai satu protes terhadap masalah yang dihadapi walaupun walaupun mereka tahu itu bukanlah jalan penyelesaiannya.
Namun bagi yang beriman pula, ujian dianggap sebagai satu didikan daripada Allah. Ketika dilanda musibah, Hati diajar supaya bersabar, jiwa dididik dengan sifat kehambaan, hasilnya perlakuan yang terzahir oleh perlakuan adalah kebaikan yang lahir dari hati yang suci, hati yang tenang dan reda menerima ketentuan dari Allah. Namun bukan pula mengalah dan terus mengalah sahaja, akan tetapi sentiasa mencuba yang terbaik dan tidak perna mengenal erti putus asa dalam kehidupan kerana bagi mereka, ujian itu terbiah, sabar itu indah!